-->


Ahad, 12 Mei 2013

Selamat Hari Ibu

 
 
Hari ni 12hb 5 2013 adalah hari ibu. Selamat Hari ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu dan bakal ibu. Jasa seorang ibu sangat tidak ternilai. Yong sayanggg sangat kat mak. Dialah pengkritik tetap, tukang masak hebat, wanita kental...tak tertulis pengorbanan mak kepada seorang anak sulung yang sangatt degil, kuat membantah dan cepat terasa hati ni. Yong mengaku, Yong memang tak pandai nak luahkan/tunjukkan perasaan sayang Yong dekat mak. Yong harap mak faham walau macamna teruk perangai/karenah Yong, Yong tetap sayang dan hargai mak. 
 
Ini adalah cerpen yang Yong buat khas untuk mak. Kononnya nak masuk Pertandingan menulis esei yang dianjurkan oleh Majalah harmoni, tapi asyik lupa nak pos. Tengok2 dah dekat due date. hehe.. 
Post kat sini jelah.
 
Esei Ibu Kaulah Ratu Hatiku
Setiap manusia di muka bumi ini dilahirkan dari rahim seorang ibu kecuali Nabi Adam a.s dan Siti Hawa. Nabi Adam dijadikan daripada tanah, manakala Siti Hawa dijadikan dari rusuk kiri Nabi Adam a.s. Saya tidak terkecuali. “Mak”, adalah panggilan untuk perempuan yang telah melahirkan dan membesarkan saya dengan penuh kasih sayang. Insan mulia ini merupakan orang yang sentiasa membantu, menasihati, mendidik dan membimbing saya dari kecil hinggalah ke peringkat dewasa.

Saya datang dari keluarga berpendapatan sederhana dan mempunyai lima orang adik-beradik. Abah saya cuma bekerja sebagai kerani sekolah. Kos sara hidup yang tinggi pada masa kini menyebabkan emak saya sentiasa berusaha membantu meringankan beban ayah. Seawal jam 3.30 pagi, emak sudah bangun dari tidur dan menyediakan beberapa jenis kuih-muih untuk dijual di beberapa tempat. Selepas menghantar kuih-muih di kedai-kedai untuk dijual, emak akan bersiap-siap untuk keluar menoreh getah milik Felcra Bukit Tampoi. Emak seorang wanita cekal yang sentiasa bersabar dan tidak pernah mengeluh keletihan.

Kadang kala banyak kuih-muih yang diletakkan di kedai-kedai tidak habis dijual. Emak tidak berputus asa. Kadang kala, getah dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Emak sabar. Pada musim hujan, emak tidak dapat keluar menoreh. Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan pendapatan keluarga. Beliau akan mengambil insentif dengan menerima tempahan membuat tapai pulut. Walau bagaimanapun, kami adik-beradik, tidak pernah dibiarkan perut kosong.

Pernah terlintas di fikiran saya “Adakah saya mampu menjadi seperti emak?” Wajah emak lebih tua berbanding usianya disebabkan dia sentiasa melakukan kerja-kerja berat. Emak melakukan tugasnya sebagai seorang isteri dan ibu dengan penuh kasih sayang. Saya dan adik pernah dirotan teruk dengan abah pada masa kecil gara-gara malas untuk bersolat. Emak menangis teresak-esak sambil memeluk abah supaya berhenti memukul. Hebatnya kasih seorang ibu, Saya sentiasa berdoa semoga emak sentiasa berada di bawah rahmat Illahi dan dipanjangkan usia. Emak, kaulah ratu hatiku.
P/S: Syarat pertandingan esei tidak boleh melebihi 300 perkataan. Kalau ikutkan hati, nak je karang lagi. Rasa macam tersangkut dan tak best je baca esei ni.haha

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum,dah baca? Sila tinggalkan komen anda.
Kalau suka tekan LIKE.
Insyaallah komen anda akan dilayan:)

Terima kasih singgah sini, nanti datang lagi ye..
Sayanggg hampa semua,

Regards,
Farhain Azmi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Copyright © Farhain Azmi Designed by azhafizah.com